Apakah Sebenarnya Yang Diperjuangkan?

Saya cukup terkilan membaca kenyataan salah seorang pemimpin politik daripada salah sebuah parti politik di negara ini yang mengaku memperjuangkan Islam tetapi mengeluarkan kenyataan yang ternyata bercanggah dengan nilai-nilai dan adab yang diajar dalam Islam. Bukan kali pertama, tetapi entah sudah berapa kali Dato’ Seri Mufti Perak, Dato’ Seri Dr. Harussani Zakaria dihentam dan dikutuk secara terbuka, hanya semata-mata kerana mengeluarkan kenyataan yang dilihat menyebelahi sesuatu pihak.

Justeru, saya tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang diperjuangkan? Kalau benar Islam itu yang diperjuangkan, mana pergi nilai-nilai Islamnya? Islam itu terbina atas dasar keilmuan yang utuh, bukan atas dasar emosi serta pegangan yang fanatik kepada ideologi parti politik sendiri. Ilmu dalam Islam adalah merupakan suatu kewajipan, suatu perkara yang sangat tinggi keutamaannya dan sangat mulia. Maka, bagi orang yang menuntut ilmu itu mendapat darjat yang cukup mulia, dan bagi orang yang berilmu (yakni ulama) itu juga ada darjat yang sangat mulia bagi mereka. Bahkan, dalam masyarakat, para ulama adalah sebenarnya orang yang seharusnya kita angkat dan letakkan di darjat yang tertinggi, kerana merekalah paksi umat ini.

Bukankah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah bersabda, bahawa sesungguhnya para ulama itu adalah waris para nabi!

Jika benarpun ada percanggahan pendapat dan perbezaan pandangan, maka haruslah perbezaan itu diselesaikan dengan cara ilmiah, melalui perbincangan dan diskusi. Bukannya dengan cara menghentam seseorang itu secara terbuka di dalam media, kemudian disusuli dengan mencabar pula. Sungguh tidak beradab! Orang yang menghina dan mengutuk seseorang yang lain, apatah lagi apabila yang dikutuk itu adalah seorang yang berilmu, adalah orang yang sebenarnya mengingkari sunnah dan ajaran Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Bayangkan bagaimana pada suatu ketika dahulu ada orang Arab Badwi yang secara tiba-tiba kencing di dalam Masjid Nabawi. Sayidina Umar al-Khattab yang memerhatikan kejadian itu bingkas bangkit dan ingin menghunus pedangnya untuk ‘menegur’ perbuatan yang biadap itu. Tetapi hal itu ditegah oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Sebaliknya, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam mengajarkan dengan cara lemah lembut kepada orang Arab Badawi itu tentang adab-adab di dalam Masjid Nabawi. Nah, kalau perbuatan yang terang-terang biadap di dalam Masjid Nabawi pun Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam boleh berlemah-lembut sebegitu, apatah lagi dalam situasi percanggahan pendapat yang berlaku pada hari ini.

Begitu juga kalau kita lihat, sepertimana yang diajarkan oleh guru kita Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, tentang kaedah yang diajarkan dalam Islam bagi para hakim. Bagi para hakim, seandainya mendapati ada 99 alasan untuk menghukum seseorang itu kafir, tetapi ada 1 alasan untuk mengatakan bahawa seseorang itu masih Islam, maka alasan yang 1 itu akan digunapakai. Nah, kaedah tersebut sudah tentu mengajar kita bahawa untuk kita menjatuhkan hukum, atau label, atau kritikan (yang sampai ke tahap mengkafirkan) kepada seseorang itu adalah suatu hal yang seboleh-bolehnya kita elakkan dalam Islam.

Oleh sebab itulah, bagi para ulama hadith (menurut pandangan Dr. Sa’id Mamduh, di Timur Tengah pada hari ini tidak ada seorang pun muhaddith yang tinggal), sekiranya berlaku ada di kalangan ulama yang mengkritik ulama sezaman, yakni ulama yang masih hidup bersama dengannya, maka kritikan itu akan ditolak ke tepi kerana dikhuatiri mengandungi unsur hasad dan dengki. Nah, dalam hal keilmuan pun begitu teliti para ulama dalam membuat penilaian dan dalam menjaga adab sesama mereka.

Justeru, saya begitu tertanya-tanya apakah sebenarnya yang ingin diperjuangkan, apabila seorang ulama (walaupun ada pandangannya yang tidak dipersetujui, beliau tetap seorang ilmuan) dihentam dan dikritik semata-mata kerana dirasakan menyokong parti lawan. Sedangkan, pada hakikatnya, parti lawan itu pun adalah parti orang Islam. Apakah kata-kata George Bush: “either you’re with us, or you’re against us” ingin dijadikan sebagai pegangan? Kembalilah kepada jalan keilmuan; dan contohilah perjalanan para ulama terdahulu yang telah mencontohi akhlak agung Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Wallahu’alam.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s